Jan 29, 2026 - FASSelangor FC berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan minggu keempat saingan ACC Piala Shopee™ selepas menewaskan Cong An Ha Noi FC 2-0 di Stadium MBPJ semalam, sekali gus melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan A dengan lapan mata.
Separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mencipta percubaan dalam usaha mendapatkan jaringan pembukaan. Memasuki babak kedua, skuad Gergasi Merah meningkatkan tempo permainan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-60 menerusi Faisal Halim, yang bijak menyudahkan peluang selepas percubaan Alvin Fortes dihadang dan bola leret jatuh di hadapannya. Selangor FC kemudiannya terus menguasai perlawanan dengan penguasaan bola yang baik sebelum Faisal Halim sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-69 hasil hantaran Hugo Boumous yang disudahkan dengan rembatan dari luar kotak penalti. Kedua-dua jaringan itu berjaya dipertahankan sehingga wisel penamat ditiup bagi memastikan kemenangan menjadi milik pasukan.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau memuji disiplin para pemain tetapi mahu mereka terus fokus untuk perlawanan seterusnya sekaligus mara ke pusingan separuh akhir.
“Ini merupakan perlawanan yang sangat penting di rumah kita sendiri. Para pemain telah mempamerkan disiplin serta azam yang tinggi sepanjang perlawanan. Prestasi yang ditampilkan wajar diberi pujian kerana mereka bekerja keras untuk menghadiahkan kemenangan kepada para penyokong. Sedikit demi sedikit, kita dapat membina identiti serta corak permainan Selangor FC. Kemenangan ini mencerminkan perkembangan positif tersebut. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain serta berterima kasih kepada penyokong Gergasi Merah yang mencipta suasana luar biasa di stadium semalam,” jelas Kim Pan-gon
“Walau bagaimanapun, ini bukan pengakhiran kejohanan dan kita perlu kekal tenang serta fokus. Beberapa perubahan penting telah dibuat pada separuh masa, membantu pasukan menjadi lebih tersusun dan lebih agresif. Sasaran pasukan adalah untuk mara ke separuh akhir dan kami akan membuat persiapan rapi bagi perlawanan seterusnya. Kita akan terus berusaha memberikan persembahan terbaik di sini (Stadium MBPJ) demi penyokong dengan harapan semangat ini menjadi budaya dan identiti pasukan,” tambahnya lagi.
Daripada perlawanan #SFCCAH dalam perlawanan ACC Piala Shopee™ semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Selangor FC kembali mendahului Kumpulan A - Lapan mata daripada dua kemenangan dan dua seri. Diikut rapat BG Pathum United F.C. dengan tujuh mata. Manakala, Buriram United F.C. dan Tampines Rovers FC mengumpul enam mata. Công An Ha Noi FC pula empat mata dan Cebu F.C. satu mata.
Gol Ketiga Faisal Halim - Konsisten menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dan ini juga merupakan gol ketiga beliau dalam aksi ACC Piala Shopee ™ 2025/26; satu menentang Tampines Rovers FC dan dua dalam perlawanan #SFCCAH.
Hugo Boumous buka akaun ‘assist’ - Perlawanan lalu terlibat dalam jaringan gol dan kini mencatat ‘assist’ pertama beliau bersama pasukan bagi gol kedua semalam.
Kemenangan tanpa bolos pertama - Keputusan perlawanan ini juga menyaksikan barisan pemain tengah, pertahanan dan penjaga gol telah berusaha bagi memastikan pasukan meraih kemenangan tanpa bolos menentang pasukan yang kuat seperti Cong An Ha Noi FC.
Seterusnya, Selangor FC akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 Februari, hari Ahad ini bagi perlawanan ke-17 saingan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC pada jam 9 malam. Dapatkan tiket #SFCBGPU untuk perlawanan kelima ACC Piala Shopee™ di sini.
Pihak Pengurusan Selangor FC berterima kasih kepada 2,574 para penyokong yang telah sama-sama bersorak dan berikan semangat anda kepada para pemain di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Richmond Ankrah, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Hugo Boumous, Alvin Fortes, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes.
Pertukaran: 75’ Izwan Yuslan > Faisal Halim, 75’ Haiqal Lau > Hugo Boumous, 83’ Harith Haiqal > Richmond Ankrah, 83’ Harry Danish > Alvin Fortes, 87’ Zikri Khalili > Quentin Cheng.